Thursday, 13 June 2013

Ibu Ayah MODEL TERHEBAT Anak-Anak..

Sebelum membentuk anak soleh/solehah, ibu ayah perlulah mempersiapkan diri dengan iman, amal dan akhlak yang soleh supaya menjadi contoh teladan kepada anak. Ibarat kata pepatah melayu, 'Ayah borek, anak rintik'. Si anak akan mengikuti apa yang dilakukan oleh ayahnya kerana itu yang disangkakan adalah betul. Kanak-kanak merupakan golongan yang cepat belajar dan kanak-kanak lebih mudah belajar melalui penglihatan. Justeru jika contoh yang baik ditonjolkan maka akhlak yang baik akan dibentuk dalam diri anak itu.
 
Perkara utama yang perlu dititik beratkan oleh ibu ayah dalam usaha mempersiapkan diri adalah perlunya menjaga solah fardunya & solah fardu yang terbaik adalah dilaksanakan secara berjemaah, di awal waktu dan di tempat azan diazankan sama ada di masjid atau di surau. Ini kerana dalam hadis Nabi SAW, Nabi SAW ada menyatakan bahawa solah berjemaah merupakan Sunanul Huda (Jalan-jalan hidayah) dan tanda orang yang beriman. Apabila ibu ayah menjaga solahnya dengan baik, maka ini akan menjadi ikutan kepada anaknya. Apabila anaknya menjaga solahnya, maka akan terbentuklah akhlak yang mulia dalam diri anak. 

Allah SWT telah berfirman bahawa sesungguhnya solah mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Kata-kata Allah SWT pasti benar belaka. Justeru dengan mengajak anak untuk solah, insyaALLAH anak tersebut akan terhindar daripada segala perbuatan yang mungkar. Kita juga sedia maklum, Nabi SAW memerintahkan ibu bapa menyuruh anaknya bersolah pada umur 7 tahun dan rotanlah anak jika tidak bersolah pada umur 10 tahun. Pendidikan solah akan lebih mudah jika kita sama-sama mengajak anak ke masjid atau surau untuk solah bersama-sama. 

Bagi anak perempuan yang tidak diajak ke masjid atau surau, tanggungjawab ayah juga adalah untuk mendidik si ibu untuk bersolah awal waktu dan mengajak anak perempuan untuk turut bersolah bersama-sama. Solah berjemaah tidak dituntut kepada kaum Hawa tetapi solah awal waktu dituntut kepada sama ada kepada kaum lelaki mahupun wanita. Cukup sekadar anak perempuan bersolah di rumah tetapi perlu dipastikan anak itu bersolah di awal waktu.

Melalui pendidikan solah ini, insyaALLAH anak yang soleh/solehah akan terbentuk. Ibu ayah perlu menunjukkan teladan yang baik dalam mendirikan solah ini bagi memudahkan anak-anak untuk mencontohi kerana pendidikan yang terbaik adalah melalui teladan. Ibu ayah lah yang menjadi SURI TELADAN dan MODEL TERHEBAT kepada anak-anak.


Faizin, jadi anak yang SOLEH ye sayang, amin.


No comments:

Post a Comment